Pada hari Ahad yang lalu sambil menunggu adik dan adik ipar menyiapkan sarapan, biasalah pagi-pagi di kampung...lepas Suboh aku memang akan duk depan tv ngan mak dan adik beradik tengok Motivasi Pagi..sementara anak-anak masih tidur...rasanya tajuknya berkaitan penerapan nilai...oleh Pakar Motivasi tak asing lagi Dr Tengku Ismadi.
Dr Tengku Ismadi menyentuh tentang intergriti jugak...penerapan nilai kepada anak-anak bukan dengan mengharapkan guru-guru di sekolah tetapi sebenarnya tanggungjawab ibubapa dari rumah dan sejak kecil lagi. Anak-anak adalah cermin diri kita sebagai ibubapa sementara kita ini adalah cermin kepada ibubapa kita. Bagaimana pembawaan peribadi anak-anak sangat dipengaruhi oleh peribadi dan tingkahlaku ibubapa sendiri.
Daripada pemerhatian aku sebagai guru selama lebih 13 tahun ni, sangat sedikit pelajar yang mempamerkan nilai yang baik dan mudah diamalkan, contohnya apabila kita membawa barang ke kelas sangat sukar untuk mendapat pertolongan daripada pelajar. Aku selalu berpesan kepada pelajar supaya mereka dapat menjaga tingkahlaku mereka. Aku menekankan bahawa "biarlah rupa kurang tapi perangai atau sikap elok" daripada rupa elok berpelajaran tetapi tiada nilai-nilai diri yang baik.
Ada seorang pelajar khas(pekak)ku yang datang ke rumahku untuk berhari raya sanggup membasuh cawan dan pinggan yang ditinggalkan kawan-kawannya sebelum pulang ke asrama. Beliau menyatakan bahawa tak elok datang rumah orang tanpa membantu untuk mengemas apa yang patut. Wah! ada lagi golongan sebegini kan. Betapa ibubapa pelajar ni telah menjalankan tanggungjawabnya dengan menerapkan nilai yang sangat baik kepada anak mereka walaupun pelajar ni OKU(orang kelainan upaya).
Teringat kepada Mak. Bila hari raya biasanya kami akan ke rumah pak sedara dan mak sedara. Mereka akan menghidangkan makanan. Mak akan pesan semasa di rumah supaya buat apa yang patut bila berada di rumah mereka.Sehingga kini setiap kali pergi rumah sedara mara kami tidak akan lupa membasuh pinggan sebelum pulang. Dan perkara lain yang Mak pesan jangan lupa bawak buah tangan walaupun sebiji gula-gula. Biasanya mak suruh bawak gula, susu dan kopi...macam dah jadi budaya orang Jawa kot kenduri kendara atau ada majlis apa-apa biasanya buah tangan yang sangat selalu dibawa adalah gula, kopi dan susu serta kalau ada kemampuan biskut. Yela orang dulu-dulu bimbang jika tuan rumah tidak berkemampuan dan merasa serba salah menerima kita sebagai tetamu, maka buah tangan itu boleh dijadikan sebagai santapan kita bersama.
Kesimpulannya, kita sebagai ibubapa dan seperti aku seorang guru tiada istilah terlambat untuk menerapkan nilai kepada anak-anak.Jangan sampai anak-anak kita dilabel dengan istilah kurang ajar atau sebagainya atas kealpaan kita menerapkan nilai yang sepatutnya kepada mereka. Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment